Bapa tunai hasrat derma organ
JOHOR BAHRU 17 Okt. - Seorang bapa bertindak mendermakan injap jantung, hati dan buah pinggang anak perempuannya demi memenuhi hasrat arwah untuk memberikan organnya kepada mereka yang memerlukan.
Meskipun sedih, namun Azli Mohamed, 47, bersyukur kerana hasrat terakhir Farhah Fakhira, 17, berjaya dimakbulkan.
Menurut Azli, anak gadisnya itu meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya di Pasir Gudang dekat sini Julai lalu.
Menurutnya, anak kedua daripada tiga beradik itu melahirkan hasrat untuk menderma organ awal tahun lalu ketika berbual dengan ibunya, Raja Fauziah Raja Yaacob, 46 tahun.
"Dia ada tanya kepada ibunya macam mana nak derma organ dan isteri saya beritahu salah satunya membabitkan pendermaan organ daripada individu yang mati otak. Anak saya kemudian melahirkan hasrat untuk mendermakan organnya," katanya semasa berkongsi cerita pada Minggu Kesedaran Pendermaan Organ peringkat negeri di Kolej Sains Kesihatan Bersekutu di sini hari ini.
Azli memberitahu, pada Julai lalu anak gadisnya itu terlibat dalam kemalangan jalan raya dan koma selama beberapa hari sebelum disahkan doktor sebagai mati otak.
Menurutnya, ketika doktor memaklumkan anaknya itu mati otak, dia teringat kata-kata gadis itu yang ingin mendermakan organ dan dia sekeluarga mengambil keputusan mendermakan injap jantung, hati dan buah pinggang anaknya.
Meskipun sedih dengan kehilangan Farhah Fakhira, namun dia reda dengan ketentuan Ilahi dan menganggap pengorbanan anaknya itu tidak ternilai harganya dalam membantu penerima organ menjalani kehidupan lebih sempurna.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Izam Suleiman berkata, Johor adalah penyumbang utama pendermaan organ sejak awal tahun lalu dengan lima daripada 35 penderma dari negeri itu.
Katanya, dari 1997 hingga September lalu, seramai 33,644 orang mendaftar sebagai penderma organ iaitu yang kedua tertinggi selepas Selangor.
Menurutnya, Minggu Kesedaran Pendermaan Organ yang berlangsung selama lima hari bermula hari ini bertujuan memberi penerangan dan pendedahan mengenai pentingnya menderma organ bagi membantu pesakit yang memerlukan.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=1018&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_11.htm#ixzz2n2d9iQrp
No comments:
Post a Comment