Monday, 9 December 2013

Awasi Gejala Meningitis

Meningitis

Oleh: Datuk Dr Zulkifli Ismail
Pakar Pediatrik & Kardiologi Pediatrik


Meningitis ialah penyakit yang berlaku dengan cepat. Serangan ini tidak memberi masa untuk didiagnosis atau dirawat serta mempunyai kadar kematian yang sangat tinggi.

Gejala awal selalunya tidak spesifik dan menyerupai selsema atau flu dan apabila gejala klasik meningitis muncul. Keadaan ini mungkin sudah terlambat untuk menyelamatkan kanak-kanak itu. Penyakit ini boleh merebak dengan cepat sekali , tempoh masa daripada bermulanya gejala awal hingga kematian hanya mengambil masa 24 jam.

Serangan ini disebabkan samada jangkitan virus atau bakteria. Kedua-duanya mudah berjangkit dan boleh menyebabkan kematian. Walaupun meningitis disebabkan jangkitan virus lebih tersebar luas (prevalen), penyakit yang disebabkan oleh jangkitan bakteria merebak dalam masa beberapa jam sahaja bukan beberapa hari; oleh kerana kadar kematiannnya yang tinggi, serangan kekal sebagai ancaman serius sejagat dan menyebabkan anggaran 170,000 kematian setahun di seluruh dunia.
Bagaimana serangan menular?
Risiko anda meningkat jika tinggal atau bekerja dengan seseorang yang menghidap penyakit meningitis. Bakteria Neisseria meningitides (salah satu bakteria utama penyebab meningitis) boleh hidup di belakang kerongkong seseorang, melainkan jika dia mendapat vaksinasi terhadap meningitis. Ini mudah berjangkit dan boleh menular apabila penghidap batuk, bersin, mencium atau berkongsi peralatan makan/minum dengan anak anda.

Siapakah yang berisiko?
Kanak-kanak dan orang dewasa muda (terutama yang tinggal berdekatan sesama sendiri seperti penuntut di kolej atau universiti yang tinggal di asrama), adalah mereka yang paling mudah dijangkiti meningitis (penyakit meningokokus). Namun, penyakit ini boleh menjangkiti sesiapa tanpa mengira umur.

Apakah meningitis penyakit serius?
Ini adalah jangkitan serius membabitkan jangkitan darah. Di Malaysia, kes meningitis bakteria mengakibatkan 10 peratus kematian dalam kalangan pesakit, dan mereka yang terselamat berisiko kehilangan anggota (disebabkan jangkitan darah), dan 10 hingga 20 peratus daripada yang terselamat mengalami kerosakan otak, atau mungkin menjadi buta atau pekak.

Bolehkah meningitis dicegah?
Ya! Cara paling berkesan melindungi anda dan anak anda terhadap meningitis bakteria adalah dengan mendapatkan vaksinasi terhadapnya.

Bagaimanakah keberkesanan vaksin itu?

Vaksin konjugat meningokokal yang baru (melawan meningitis bakteria) adalah 90 peratus berkesan dalam mencegah penyakit meningokokal. Vaksin konjugat meningokokal terkini dilesenkan (melawan meningitis bakteria) adalah berasaskan pada 13 serotip pneumokokus yang paling lazim, di mana vaksin tersebut mempunyai efikasi perlindungan keseluruhannya sebanyak 60 hingga 70 peratus.
Apakah yang harus dilakukan jika anak dijangkiti?
Jika anda mengesyaki anak menunjukkan gejala meningitis, jangan teragak-agak mendapatkan bantuan perubatan segera. Anda mesti bertindak dengan pantas kerana penyakit ini boleh merebak dalam tempoh 24 hingga 48 jam. Pastikan anda terangkan dengan jelas kepada doktor dan nyatakan kemungkinan anak menghidap meningitis atau septisemia.
Jangan sekali-kali memandang rendah kepada kepentingan vaksinasi! Mencegah meningitis adalah lebih baik daripada berhadapan dengan akibat jangkitan. Penting untuk anda mengetahui tanda-tanda meningitis; jika pada bila-bila mas aanda mengesyaki anak anda menghadapinya, jangan berlengah. Dapatkan rawatan serta merta!

Sumber : Berita Harian

No comments:

Post a Comment